JKM Limbang Salur Bantuan Kepada Penduduk Kampung Pengkalan Jawa
LIMBANG: Unit Pengurusan Bantuan Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang menyalurkan bantuan kepada penduduk Kampung Pengkalan Jawa yang dilaporkan terputus hubungan pada 9 Januari lalu susulan bencana banjir yang melanda perkampungan di pesisir Sungai Limbang baru-baru ini.
Bantuan tersebut disalurkan kepada 61 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 178 Ahli Isi Rumah (AIR) yang merangkumi bekalan makanan kering serta beras bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Menurut Ketua Unit Pengurusan Bencana JKM Bahagian Limbang, Gadong Buaya, pihaknya berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Kami berharap bantuan yang telah kami salurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa-mangsa yang terjejas, khususnya dalam memenuhi keperluan asas harian mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan JKM dalam memastikan kebajikan mangsa banjir diberi perhatian, di samping mengambil tindakan segera berdasarkan laporan dan pemantauan di lapangan.
Dalam pada itu, proses pengagihan bantuan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Limbang yang sama-sama membantu dalam kerja-kerja memunggah dan memuatkan bantuan makanan bagi memastikan agihan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan mangsa dilaporkan tidak berpindah, namun pihak berkuasa akan terus memantau keadaan banjir semasa bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.-EDISI UKAS