Budaya Kecemerlangan Terus Diperkasa Dalam Warga MINTRED
KUCHING: Warga kerja Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) diseru terus mengekalkan budaya kecemerlangan, integriti dan profesionalisme dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kecemerlangan bukan sekadar pengiktirafan prestasi, malah mencerminkan komitmen berterusan terhadap penambahbaikan, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta tadbir urus yang berintegriti.
Menurut beliau, anugerah yang disampaikan merupakan manifestasi penghargaan terhadap kecemerlangan prestasi dan tahap profesionalisme pegawai serta kakitangan kementerian sepanjang tahun 2025.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima anugerah dan turut menghargai seluruh warga kerja termasuk mereka yang berperanan di sebalik tabir sebagai nadi kejayaan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MINTRED 2025 bertemakan “Honouring Excellence, Celebrating Legacy, Embracing the Future” di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron atas kepimpinan dan khidmat bakti sepanjang menerajui kementerian, di samping mengalu-alukan pelantikan Datu Lester Matthew sebagai Setiausaha Tetap MINTRED yang baharu.
Menyentuh prestasi ekonomi negeri, Datuk Amar Awang Tengah berkata Sarawak terus mencatat daya tahan ekonomi yang kukuh menerusi dasar berhemah dan visi pembangunan jangka panjang yang jelas.
Sejak 2021 hingga suku ketiga 2025 jelasnya, Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM105.9 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Hadir sama, Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Penasihat PKS MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak Timothy Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) Samat Junai dan wakil Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) Kenny Lau.-EDISI UKAS