Sarawak Perkukuh Asas Ekonomi, Tingkat Keyakinan Pelabur
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh asas ekonomi negeri dengan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, tadbir urus berkesan serta persekitaran pelaburan yang stabil bagi memastikan pertumbuhan mampan dan inklusif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, momentum pembangunan perlu digerakkan secara berdisiplin dan konsisten agar Sarawak kekal berdaya saing dalam jangka panjang.
“Hala tuju Sarawak adalah jelas. Kami sedang berusaha ke arah membina ekonomi yang lebih berdaya saing, lebih berdaya tahan dan lebih inklusif.
“Kami memperkukuh jaringan perhubungan, menambah baik fasilitasi serta membina kapasiti, kerana apa yang menarik pelaburan jangka panjang bukan hanya insentif, tetapi asas yang kukuh seperti infrastruktur, bakat, tadbir urus serta persekitaran operasi yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis ‘AFFIN Group Market Outlook and Chinese New Year Dinner’ di Hotel Sheraton, di sini, pada Khamis.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut beliau, Sarawak merekodkan jumlah dagangan RM198.7 bilion dengan lebihan dagangan RM71.1 bilion pada tahun 2024, satu petunjuk positif dan pada masa sama menuntut usaha berterusan bagi mengekalkan keyakinan dan meningkatkan prestasi melalui pelaksanaan dasar yang berkesan.
Selain itu, dari tahun 2021 hingga suku ketiga 2025, Sarawak berjaya menarik pelaburan bernilai RM105.9 bilion, yang menurut beliau perlu terus diperkukuh melalui pelaksanaan dasar yang konsisten serta penambahbaikan praktikal yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan infrastruktur kewangan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam menggerakkan modal, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkukuh daya tahan komuniti.
Dalam hal ini, beliau mengiktiraf peranan institusi kewangan sebagai rakan strategik kerajaan, termasuk AFFIN Group, yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak melalui perkhidmatan perbankan konvensional, Islamik dan pelaburan.
Menurut beliau, kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta amat penting dalam membina nilai jangka panjang yang dikongsi bersama, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh Sarawak.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS