Raptai Majlis Pecah Tanah Projek Samarahan Boulevard Berjalan Lancar
KOTA SAMARAHAN: Persiapan menjelang majlis pecah tanah projek Samarahan Boulevard berada pada tahap akhir apabila raptai penuh majlis tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar di tapak projek Samarahan Boulevard IRSDA di sini pada Jumaat.
Majlis pecah tanah berkenaan dijadualkan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu ini, sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan satu lagi projek pembangunan strategik di Bahagian Samarahan.
Raptai tersebut diadakan bagi menyelaras perjalanan majlis, memastikan susun atur atur cara berjalan teratur serta menilai tahap kesiapsiagaan semua agensi dan pihak berkepentingan agar majlis sebenar dapat berlangsung dengan sempurna dan mematuhi protokol yang ditetapkan.
Hadir meninjau raptai ialah Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat serta Pegawai Tadbir Khas IRSDA Anuar Da’an.
Projek Samarahan Boulevard yang dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan fizikal dan sosioekonomi kawasan Samarahan, termasuk meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membuka peluang pembangunan baharu.
Pelaksanaan projek ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mempercepat pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, di samping memperkukuh landskap pembangunan negeri selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). -EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Mahazul Aqby Seruji
Mohd Noorhamizan Hamid
Muhammad Ridzwan Jemat
UKAS Bahagian Samarahan