CABCOM Perhebat Tadbir Urus Kewangan, Perkukuh Akauntabiliti Agensi Negeri
MIRI: Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Penyata Kewangan dan Anggaran Belanjawan Tahunan bagi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (CABCOM) telah mengadakan mesyuarat pertamanya bagi tahun 2026 di Bandaraya Miri sempena pelaksanaan program lawatan kerja ke Lembaga Pelabuhan Miri dan Sarawak Water Sdn Bhd (Northern Region).
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya yang menegaskan agar semua cadangan CABCOM dijadikan panduan utama dalam usaha penambahbaikan berterusan pengurusan kewangan dan tadbir urus melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan Berkanun Negeri (BBN), selaras dengan aspirasi Premier Sarawak.
Menurut beliau, program lawatan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan CABCOM yang menekankan libat urus secara bersemuka di peringkat operasi, bagi memahami fungsi dan pelaksanaan agensi, menilai amalan tadbir urus sedia ada, serta memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai cabaran sebenar yang dihadapi oleh agensi pelaksana.
Program yang berlangsung pada Rabu dan Khamis itu turut membolehkan CABCOM menilai pelaksanaan tadbir urus secara lebih realistik, di samping menyokong usaha penambahbaikan berterusan yang memberi penekanan kepada kecekapan pengurusan, ketelusan proses kerja dan pemerkasaan budaya integriti.
Usaha tersebut juga bertujuan memastikan penggunaan sumber awam diurus secara berhemah dan berimpak tinggi, seterusnya memberikan pulangan terbaik terhadap perbelanjaan awam kepada rakyat Sarawak.-EDISI UKAS