Bantuan Makanan Disalur ke Lima Rumah Panjang Terputus Hubungan
TATAU: Seramai 240 penduduk di lima buah rumah panjang yang terputus hubungan di kawasan Sungai Entajum, Daerah Tatau menerima bantuan makanan menerusi satu operasi penghantaran khas yang dilaksanakan pada Khamis.
Operasi bermula sekitar jam 10 pagi itu melibatkan kerjasama bersepadu pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Tatau, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Lima rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Genta Insul, Rumah Was Janting, Rumah Kennedy Chulo, Rumah Nyalang Nantang dan Rumah Eki Garajie.
Penghantaran bantuan dilaksanakan melalui laluan darat menggunakan beberapa kenderaan pacuan empat roda (4x4), sebuah Land Rover PDRM serta sebuah lori JBPM, dengan kekuatan seramai 23 anggota daripada pelbagai agensi bagi memastikan misi berjalan lancar.
Walaupun laluan ke semua rumah panjang masih ditenggelami air, bantuan makanan berjaya disampaikan dan diserahkan kepada Tuai Rumah atau wakil penduduk masing-masing.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia melaksanakan bantuan susulan sekiranya diperlukan.-EDISI UKAS