Kerajaan Sarawak Prihatin Kebajikan Penjawat Awam Luar Bandar
MATU: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian serius terhadap kebajikan serta keperluan penjawat awam yang berkhidmat di kawasan luar bandar.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menzahirkan perkara tersebut semasa mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Matu, di sini, pada Khamis.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menyampaikan amanat kepada seluruh kakitangan Pejabat Daerah Matu dengan menekankan kepentingan integriti, disiplin serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah sebagai penjawat awam, khususnya dalam memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut meluangkan masa mendengar secara langsung pandangan serta permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan, termasuk cabaran berkaitan kekurangan kemudahan dan infrastruktur asas pejabat.
Beliau seterusnya meninjau keadaan fizikal Pejabat Daerah Matu yang terletak di kawasan sawah padi, sekali gus memperoleh gambaran jelas mengenai persekitaran kerja kakitangan yang berkhidmat di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan Pejabat Daerah Matu atas dedikasi dan kesungguhan mereka menjalankan tugas meskipun berdepan pelbagai kekangan.
Tegas beliau, semangat dan komitmen yang ditunjukkan wajar dihargai dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Leo Poh dan Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi.-EDISI UKAS