Setiausaha Kerajaan Sarawak Dengar Cabaran dan Keperluan Penjawat Awam di Daro
DARO: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan kerja rasmi ke Daerah Daro pada Khamis bagi mendengar secara langsung permasalahan serta cabaran yang dihadapi oleh penjawat awam di daerah berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan menilai situasi sebenar penyampaian perkhidmatan awam di peringkat daerah, khususnya isu kekurangan kemudahan fasiliti yang memberi kesan terhadap kecekapan operasi dan kebajikan penjawat awam negeri serta persekutuan.
Dalam sesi pertemuan bersama warga perkhidmatan awam, beliau menegaskan kepentingan komitmen dan profesionalisme dalam melaksanakan amanah penjawat awam bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan agar penjawat awam terus mengekalkan budaya kerja berintegriti, berdisiplin dan berorientasikan perkhidmatan selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan awam.
Pada lawatan sama, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar meninjau tapak cadangan pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Daerah Daro serta tapak cadangan pembinaan kuarters kakitangan kerajaan.
Selepas itu, beliau menghadiri majlis makan malam sempena lawatan kerja tersebut di Riverside Restaurant yang menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dengan pemimpin tempatan serta jabatan dan agensi kerajaan.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Hadir sama, Pengerusi MAKSAK Wanita Dato Baduyah Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Jabatan Premier Sarawak Datu Grace Huong Siew Hung, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Mukah Datin Jacqueline Jee dan Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak Rusmaliza Mat Darus.-EDISI UKAS