Kemudahan Awam Di Piasau Dinaik Taraf Melalui Projek RTP
MIRI: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat apabila Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengadakan lawatan kerja ke dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Piasau, Khamis.
Lawatan tersebut melibatkan tinjauan projek menaik taraf tapak bola keranjang di Jalan Aru yang telah siap sepenuhnya pada 30 Disember 2025 dengan kos berjumlah RM150,000.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan sukan dan riadah di kawasan itu berada dalam keadaan selesa serta selamat untuk digunakan oleh penduduk setempat.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menyumbang kepada pembentukan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Selesai lawatan di Jalan Aru, beliau turut meninjau satu lagi projek RTP di Jalan Lautan 2B yang melibatkan kerja naik taraf kawasan rekreasi dengan peruntukan RM150,000, yang bermula pada 3 November 2025 lalu.
Tambah beliau, projek RTP memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam serta menyediakan ruang riadah yang lebih kondusif dan selesa kepada penduduk setempat.
Lawatan berkenaan turut disertai pegawai Majlis Bandaraya Miri, pihak kontraktor serta wakil penduduk kawasan, serta Pemanca Leonard Fong. - EDISI UKAS