15 Penerima B40 Miskin Tegar Terima Bantuan Peralatan Program LIFE di Tebedu
TEBEDU: Seramai 15 orang Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kategori B40 miskin tegar di daerah ini menerima bantuan peralatan menerusi Program ‘Low Income Empowerment’ (LIFE) anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM75,000.
Bantuan tersebut merangkumi pelbagai peralatan keusahawanan dan kemahiran termasuk peralatan pertukangan, pertanian, pembuatan kuih, mesin jahitan serta peralatan kerja mengimpal bagi membantu penerima menjana pendapatan secara mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada, berkata Program LIFE merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang mampu membantu golongan miskin B40 membina kehidupan baharu secara mampan, memandangkan bantuan yang diberikan bukan bersifat sementara tetapi berupaya menjana pendapatan jangka panjang.
“Bantuan LIFE ini berbeza kerana ia ibarat memberi pancing, bukan ikan di mana dengan peralatan ini, penerima mampu menyara keluarga mereka dalam jangka panjang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis simbolik penyerahan bantuan program LIFE, di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Dr Simon Sinang turut memaklumkan bahawa dua projek pembangunan berskala besar bakal dilaksanakan di Bandar Mutiara Tebedu.
Projek pertama ialah Hab Ekonomi dan Kebudayaan yang kini dalam proses tender, manakala satu lagi projek bernilai RM5.5 juta akan dibina bersebelahan Pejabat Daerah Tebedu.
Menurut beliau, kesemua inisiatif ini bertujuan menarik pelabur untuk melabur di Tebedu sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan serta kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tebedu, Gerrard George Entigar berkata, pemilihan penerima dibuat hasil kerjasama erat melalui sesi temu duga bersama ketua-ketua kampung yang terlibat, selain berpandukan senarai penerima dalam sistem e-Kasih.
Tambah beliau, bantuan peralatan yang disalurkan hari ini merupakan titik permulaan kepada kehidupan baharu para penerima.
Beliau yakin sekiranya peralatan tersebut digunakan dengan sebaiknya, ia mampu meningkatkan pendapatan keluarga peserta seterusnya mengurangkan jurang kemiskinan luar bandar, khususnya di Daerah Tebedu.
Turut hadir, wakil Residen Serian Suzanna Pidan dan Penolong Setiausaha Seksyen Majlis Pembangunan KPWK Tony Mandy Bogeg. -EDISI UKAS