Majlis Lambaian Kasih Kunjungan Budi Hargai Kepimpinan Pegawai Daerah Gedong
SERIAN: Majlis Lambaian Kasih Kunjungan Budi telah diadakan di sebuah hotel di sini bagi meraikan serta menghargai jasa dan sumbangan Tamida Da’adi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Daerah Gedong.
Majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas kepimpinan beliau yang disifatkan berwibawa, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat meskipun hanya berkhidmat kira-kira dua tahun di daerah Gedong.
Tamida kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pembangunan), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, berkuat kuasa 15 Januari 2026.
Berucap pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen serta dedikasi Tamida dalam menyelaras pentadbiran daerah, termasuk pelaksanaan projek pembangunan, pengurusan bencana dan kebajikan rakyat.
Menurut beliau, walaupun tempoh perkhidmatan Tamida di Daerah Gedong singkat, sumbangan serta kepimpinan yang ditampilkan amat besar dan dirasai oleh semua pihak.
“Dalam tempoh yang singkat itu, beliau telah mempamerkan kesungguhan, komitmen tinggi serta keikhlasan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Rodiyah turut menegaskan bahawa Daerah Gedong yang berada di bawah kepimpinan Premier Sarawak memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan semua pihak bagi memastikan pentadbiran kekal teratur, pembangunan berjalan lancar serta kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara Pejabat Daerah, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat, Daerah Gedong akan terus maju dan membangun secara inklusif,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan tugas rasmi kepada mantan Pegawai Daerah Pusa Jamain Wahab, yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Gedong yang baharu.
Sementara itu, Tamida semasa berucap berharap agar segala perancangan serta projek yang masih dalam pelaksanaan dapat diteruskan demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat di daerah tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Pejabat Daerah Gedong, ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan atas kerjasama erat yang menjadi tunjang kejayaan pentadbiran dan penganjuran program di peringkat daerah.
Turut hadir, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Dato Sri Naroden Majais dan wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Da’an. -EDISI UKAS