Padang Bola Sepak RGC Gedong Dinaik Taraf Dengan Peruntukan RM1.5 Juta
GEDONG: Impian golongan belia dan peminat sukan di Daerah Gedong untuk memiliki kemudahan padang bola sepak bertaraf moden kini menjadi kenyataan.
Majlis Daerah Gedong yang diwakili Setiausahanya Farrah Sofya Sharbini secara rasmi menyerahkan projek menaiktaraf Padang Bola Sepak RGC Gedong kepada pihak kontraktor dalam majlis yang berlangsung secara ringkas pada Khamis.
Majlis penyerahan projek tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pada itu, Wakil Khas ADUN Gedong Dato Sri Naroden Majais, menegaskan bahawa projek ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak untuk menyediakan fasiliti sukan berkualiti bagi menyokong pembangunan bakat muda di kawasan tersebut.
Projek bernilai RM1.5 juta itu dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan khas daripada Datuk Patinggi Abang Zohari.
Fokus utama projek adalah pemasangan rumput tiruan bagi memastikan padang lebih selesa, selamat dan mampu menampung aktiviti sukan bertaraf kompetitif.
Peruntukan ini amat bermakna dan dihargai oleh komuniti setempat kerana ia menyediakan kemudahan sukan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti, khususnya untuk golongan belia.
Inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh aktiviti kemasyarakatan serta membuka ruang kepada bakat-bakat muda tempatan untuk terus berkembang dan menyerlah.
Dengan adanya usaha murni ini dapat memberi manfaat berpanjangan dengan melahirkan generasi belia yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing seterusnya memperkukuh perpaduan masyarakat di Daerah Gedong.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong merangkap Penasihat Gedong Unity Football Club Mahartir Oyak. -EDISI UKAS