BETONG: Hamdan Katang telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Pusa yang baharu, sebagai kesinambungan kepimpinan dan komitmen berterusan dalam memperkukuh pentadbiran daerah tersebut.
Majlis penyerahan tugas Pegawai Daerah Pusa telah berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Betong dan disaksikan oleh Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Dalam ucapannya, Hamdan menyatakan kesediaan untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran sedia ada di Pejabat Daerah Pusa bagi memastikan tadbir urus daerah kekal berfungsi dengan cekap dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Pejabat Residen Bahagian Betong atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum ini.
Untuk rekod, sebelum pelantikan ini, Hamdan merupakan Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong.
Majlis penyerahan tugas ini bukan sahaja melambangkan peralihan kepimpinan yang teratur, malah memperkukuh kerjasama erat antara Pentadbiran Daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KMKK) Daerah Pusa, selaras dengan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan daerah terus diperkasakan secara efisien dan berimpak.