CSR RM80,000 Manfaat Nelayan & Institusi Pendidikan Kabong
KABONG: Usaha memperkukuh infrastruktur asas serta kesejahteraan komuniti di kawasan Kabong terus diperkasakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato’ Mohd Chee Kadir menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan cek berjumlah RM80,000 bagi pelaksanaan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pusat Khidmat Kabong.
Penyerahan pada Khamis tersebut merupakan inisiatif CSR pertama yang melibatkan kerjasama strategik antara Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong bersama Magma Fokus Sdn. Bhd., selaras dengan komitmen kepimpinan setempat dalam menyokong pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan.
Sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan beberapa projek infrastruktur dan kemudahan awam, antaranya kerja-kerja baik pulih jeti serta pemasangan sistem solar di kawasan nelayan Kabong, baik pulih bangunan KEMAS Kabong, pembinaan empat unit tandas guru di Sekolah Kebangsaan Abang Leman Kabong, penyediaan barangan sokongan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk murid Sekolah Kebangsaan Haji Junid Gerigat serta pembelian Smart TV bagi kegunaan murid Sekolah Kebangsaan Alit.
Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas dan persekitaran pembelajaran, malah mencerminkan keprihatinan kepimpinan terhadap keperluan komuniti setempat, khususnya dalam aspek infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Inisiatif CSR ini memperlihatkan peranan kepimpinan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan serta sektor swasta dalam menyokong agenda pembangunan daerah, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat Kabong.