Bantuan Peralatan Perikanan Darat Pacu Ekonomi Nelayan Sungai Katibas
KAPIT: Nasib kaum nelayan di kawasan Kapit terus dibela melalui Majlis Penyerahan Projek Membekal, Menghantar, Memasang dan Mengujiguna Peralatan dan Perkakasan Inland Fisheries Project: Upgrading Equipment di bawah Program Community@SCORE RECODA 2025.
Majlis diadakan di Terminal Penumpang Song, pada Khamis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan sebagai usaha memperkasa sosioekonomi penduduk luar bandar.
Program anjuran Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) itu menyaksikan seramai lapan nelayan sungai dari Daerah Song menerima bantuan berupa perahu fiber, enjin sangkut, peti sejuk serta pukat, bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta hasil tangkapan nelayan.
Dalam ucapannya, Lidam berkata pelaksanaan projek tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan melalui agensi pembangunan wilayah dalam memperkukuh sumber pendapatan komuniti setempat, khususnya nelayan sungai di kawasan pedalaman.
Beliau menegaskan bahawa penyediaan peralatan yang lebih moden dan efisien bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar secara mampan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima dengan sebaik mungkin demi menjamin kelangsungan ekonomi keluarga dan kesejahteraan komuniti.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, wakil URDA Elvin, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Ambrose Abong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan dan Paulus Dandee serta Pegawai Perhubungan Komuniti (CLO) URDA Minggu Nyantau dan Kelimbik Sibat.
Sementara itu, wakil penerima bantuan, Sauh Anggop, mewakili semua penerima merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ADUN Katibas dan URDA atas sumbangan yang disifatkan amat bermakna dan sangat diperlukan bagi membantu nelayan sungai meningkatkan hasil tangkapan serta pendapatan mereka.
Program ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur sokongan ekonomi komuniti, sejajar dengan aspirasi pembangunan inklusif dan seimbang di kawasan pedalaman negeri ini.