RM8 Juta Diperuntukkan, Naik Taraf Infrastruktur Sawah Padi Lundu
LUNDU: Dua projek menaik taraf infrastruktur sawah padi bernilai keseluruhan RM8 juta di Daerah Lundu kini memasuki fasa persediaan pelaksanaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pertanian dan menjamin kelestarian pengeluaran padi di kawasan luar bandar.
Jelasnya, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi memastikan kawasan sawah padi di DUN Opar kekal produktif, berdaya tahan terhadap perubahan cuaca serta mampu menyokong agenda keterjaminan makanan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan tapak bagi projek menaik taraf sistem infrastruktur pertanian sawah padi di Kampung Sedaing dan Kampung Rukam pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa lawatan tapak sebelum proses tender adalah langkah strategik bagi memastikan skop projek yang dirancang bersifat realistik, tepat dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya komuniti petani di Kampung Sedaing dan Kampung Rukam.
Kedua-dua projek berimpak tinggi di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) itu melibatkan peruntukan RM3.5 juta bagi Kampung Rukam dan RM4.5 juta bagi Kampung Sedaing.
Projek ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan sokongan pertanian sawah padi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air, produktiviti hasil padi serta pendapatan pesawah tempatan.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir GKCDA, Mohd Badrulhisyam Muta’ee serta Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Kuching Samarahan, Anisah Ahmad. -EDISI UKAS