Isu Pertapakan Antara Cabaran Utama Projek, SADA Perkukuh Penyelarasan Agensi
SRI AMAN: Isu berkaitan permohonan pertapakan dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek pembangunan di Sri Aman sekali gus mendorong Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) mengambil langkah proaktif memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana.
Sehubungan itu, SADA dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menganjurkan Taklimat Prosedur Permohonan Pertapakan Projek SADA pada Khamis.
Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, penganjuran taklimat tersebut adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA Bil. 3/2025, bertujuan memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lebih lancar, cekap dan tersusun.
Menurut beliau, masalah berkaitan prosedur dan kelulusan pertapakan bukan sahaja memberi kesan kepada projek di bawah SADA, malah turut dihadapi oleh agensi-agensi lain, sekali gus berpotensi menyebabkan kelewatan pelaksanaan di peringkat lapangan.
“Justeru, pendekatan perkongsian maklumat dan penyelarasan bersama antara semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya.
Tambah beliau, melalui taklimat tersebut, semua agensi pelaksana dapat memahami dengan lebih jelas keperluan, prosedur serta tanggungjawab masing-masing dalam proses permohonan pertapakan projek.
SADA berharap sesi berkenaan dapat mewujudkan kefahaman bersama yang lebih kukuh sekali gus mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan demi kesejahteraan masyarakat di Sri Aman.-EDISI UKAS