Datuk Abdullah Saidol Terima Kunjungan Hormat Pengarah AKM Sarawak
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohamad Faizal Lamat bersama delegasi akademi tersebut di Ibu Pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Jumaat.
Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan peranan dan fungsi akademi berkenaan sebagai pusat pembangunan kapasiti kepimpinan serta pengukuhan nilai kenegaraan dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah menyambut baik inisiatif tersebut dan menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Pejabat Perdana Menteri menerusi AKM selaras dengan aspirasi meningkatkan profesionalisme serta keupayaan komunikasi strategik perkhidmatan awam.
Dalam sesi berkenaan, pihak AKM turut mengambil peluang menjelaskan pelaksanaan pelbagai latihan dan program pembangunan kompetensi, termasuk kursus kepimpinan, tadbir urus, komunikasi strategik dan pemantapan nilai patriotisme yang disasarkan kepada penjawat awam di peringkat Persekutuan dan Sarawak.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai cadangan kerjasama strategik sempena sambutan Hari Pahlawan, khususnya dari aspek pengisian program berunsur kenegaraan, komunikasi awam dan penglibatan penjawat awam bagi menyemarakkan semangat patriotisme.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS