SWLC Dijenamakan Semula Kepada Kursi Datuk Amar Juma’ani
KUCHING: Kursi Kepimpinan Wanita Sarawak (SWLC) akan dijenamakan semula kepada Kursi Datuk Amar Juma’ani dalam usaha untuk terus memperkasakan golongan wanita dari aspek kemahiran dan kepimpinan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kursi ini akan menjadi platform khusus bagi menjalankan penyelidikan mendalam mengenai isu-isu berkaitan kepimpinan wanita.
Menurutnya, ia juga melibatkan pembangunan dan pelaksanaan program-program bersasar yang bertujuan meningkatkan keupayaan, kompetensi serta penglibatan wanita Sarawak dalam pelbagai sektor.
“Peranan Kursi Datuk Amar Juma’ani adalah untuk melaksanakan program-program yang melibatkan latihan serta penglibatan komuniti, yang dijalankan melalui pendekatan kolaboratif bersama rakan strategik seperti Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
“Secara ringkasnya, kursi ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memperkasa wanita melalui pendidikan serta latihan kemahiran, dengan melaksanakan kerjasama bersama institusi-institusi berkaitan seperti yang telah saya sebut tadi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di Wisma Wanita di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi MWKS mendedahkan, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM5 juta secara ‘one-off’ untuk tujuan kursi berkenaan.
Menyentuh mengenai tajaan pengajian tiga pelajar wanita bagi mengikuti program Sarjana Sastera dalam Pembangunan Kepimpinan di ‘Asian Women Leadership University College (AWLUC)’, Dato Sri Fatimah memberitahu kohort pertama tajaan berkenaan akan memulakan pengajian mereka pada Febuari tahun ini.
Untuk pengambilan tahun 2027, beliau memberitahu ia telah dibuka di laman sesawang Jabatan Wanita dan keluarga Sarawak (JWKS) di mana wanita Sarawak boleh menghantar permohonan beserta ‘resume’ kepada JWKS.
“Kita akan mempunyai satu panel yang akan menilai semua permohonan yang diterima bagi menentukan calon yang layak untuk kohort kedua, yang dijadualkan bermula pada Februari 2027,” jelas beliau lagi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi MWKS Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Ex-Officio MWKS Riziandy Nawawi, Setiausaha MWKS merangkap Pengarah JWKS Salmah Jobeli serta ahli-ahli MWKS yang lain. -EDISI UKAS