Pembesaran Jalan Sultan Tengah Dijangka Mula Dilaksana Suku Kedua Tahun Ini
KUCHING: Projek pembesaran Jalan Sultan Tengah sepanjang 21.4 kilometer dijangka mula dilaksanakan pada suku kedua tahun ini bagi menyokong pembangunan sistem pengangkutan Transit Aliran Autonomi (ART) Laluan Hijau serta pertumbuhan pesat kawasan Zon Santubong.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut melibatkan penaiktarafan jalan daripada satu lorong kepada dua lorong bagi melancarkan pergerakan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Pembesaran Jalan Sultan Tengah adalah sebahagian daripada pembangunan menyeluruh yang dilaksanakan selari dengan projek ART Laluan Hijau yang menghubungkan Bulatan Yayasan Sarawak sehingga ke Damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara 2026 Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan pelepasan Kuching Car Free Morning di Padang Merdeka, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu beliau memberitahu, projek pembesaran jalan tersebut dijangka mengambil tempoh selama 24 bulan untuk disiapkan dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Beliau turut menjelaskan bahawa pembesaran jalan berkenaan akan meningkatkan kecekapan jaringan perhubungan ke kawasan tumpuan pelancongan, selain memudahkan pergerakan penduduk tempatan serta pengunjung ke kawasan Damai.-EDISI UKAS