Bantuan Makanan Berjaya Disalur Kepada 626 Penduduk Terputus Hubungan di Tatau
TATAU: Seramai 626 penduduk di kawasan terputus hubungan sekitar Kelebu, Kakus dan Penyarai, Daerah Tatau menerima bantuan makanan menerusi operasi penghantaran bersepadu yang dilaksanakan pada Ahad.
Operasi yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu melibatkan penghantaran bantuan ke rumah-rumah panjang serta kemudahan awam yang terjejas susulan laluan darat yang tidak dapat dilalui.
Di kawasan Kelebu, Kakus, bantuan disalurkan kepada 209 penduduk melibatkan lapan buah rumah panjang.
Manakala di kawasan Penyarai, seramai 417 penduduk menerima bantuan termasuk penghuni lapan rumah panjang, warga Sekolah Kebangsaan Nanga Penyarai serta petugas Klinik Kesihatan Kakus.
Penghantaran bantuan dilaksanakan menggunakan empat buah bot melalui laluan sungai, masing-masing dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh (PPDTS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Seramai 25 petugas daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi ini, termasuk JBPM, PDRM, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pejabat Daerah Tatau serta PPDTS.-EDISI UKAS