Anjung Usahawan Sundar Pacu Ekonomi Agro dan PKS Setempat
LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar menerusi perasmian Anjung Usahawan Sundar yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan pemprosesan makanan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Anjung Usahawan menyediakan kemudahan niaga yang kondusif, tersusun dan teratur bagi membantu usahawan tempatan melibatkan diri secara lebih aktif dalam kegiatan ekonomi setempat.
“Anjung Usahawan ini bukan sekadar menyediakan ruang niaga, malah dilengkapi kemudahan pemprosesan serta premis makanan yang berkualiti, sekali gus berpotensi menjadi tarikan pelancongan selari dengan pembangunan ekopelancongan di kawasan ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Anjung Usahawan Sundar, pada Ahad.
Menurut beliau, meskipun kawasan Sundar berdepan cabaran seperti banjir ketika hujan lebat dan fenomena air pasang, kawasan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri dari segi sumber semula jadi yang sesuai untuk pembangunan agrokultur dan penternakan secara mampan.
Beliau turut menekankan kewujudan Hypermarket Lepapa Lawas yang menjadi tumpuan pengunjung dari Brunei dan Sabah sebagai peluang strategik kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk masing-masing, khususnya dengan pembungkusan yang berkualiti serta mematuhi piawaian ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan perubahan minda dan paradigma masyarakat agar lebih bersedia untuk bergerak maju, di samping menekankan bahawa kejayaan sesuatu pembangunan amat bergantung kepada usaha, disiplin dan kesungguhan rakyat sendiri.
Mengulas perancangan pembangunan jangka panjang, beliau berkata kawasan Sundar akan dibangunkan secara berfasa merangkumi pembangunan taman rekreasi, projek tebingan sungai, pejabat dan perumahan, selain cadangan pembinaan jambatan menghubungkan kawasan seberang serta penyediaan kemudahan awam termasuk klinik kesihatan dan pusat GIATMARA baharu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Anjung Usahawan Sundar akan dijadikan tapak Bazar Ramadan pada tahun ini sebagai usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan setempat.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan beberapa inisiatif bantuan keusahawanan melibatkan Program GERAK berjumlah RM69,000, USTEV sebanyak RM26,000 serta SKMS bernilai RM604,000 bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.-EDISI UKAS