Yayasan Hasanah, GDRN dan Yayasan Food Bank Malaysia Salur Bantuan Persekolahan Murid Terjejas di Miri
MIRI: Yayasan Hasanah bersama GDRN dan Yayasan Food Bank Malaysia (YBFM) tampil menyalurkan bantuan persekolahan kepada 50 orang murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Miri, termasuk yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Program yang diadakan di Pusat Pakaian Hari-Hari, Emart Riam pada Sabtu itu melibatkan murid dari Sekolah Kebangsaan Miri dan Sekolah Kebangsaan Sayed Othman, dengan matlamat memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu dalam keadaan lebih yakin, selesa dan lengkap dengan keperluan asas pembelajaran.
Inisiatif ini merupakan tahun kedua kerjasama antara yayasan-yayasan terbabit dalam usaha menyantuni komuniti sekolah di kawasan Parlimen Miri, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor bukan kerajaan dan swasta dalam memperkasa kebajikan pendidikan anak-anak luar bandar dan bandar.
Program tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Food Bank Malaysia, Puteri Fazlieznoor Yahaya bersama Rafidah Othman, dengan sokongan penyelaras tempatan, Mohammad Hafidz Rohani dari Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri.
Bantuan dipohon oleh pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), manakala pemilihan penerima dikenal pasti hasil maklum balas serta pemantauan guru-guru yang lebih memahami latar belakang sosioekonomi dan keperluan keluarga murid, bagi memastikan bantuan disalurkan secara tepat dan berkesan.
Menurut Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Miri, Mohammad Hafidz Rohani, pendidikan tidak terhad kepada kehadiran murid ke sekolah semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek keyakinan dan kesiapsiagaan mereka untuk belajar.
“Sebagai ibu bapa dan komuniti sekolah, tanggungjawab kita bukan sekadar memastikan anak-anak hadir ke sekolah, tetapi juga memastikan mereka hadir dengan perasaan yakin, selesa dan cukup keperluan.
“Apabila keperluan asas mereka terjaga, barulah mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Hasanah, GDRN dan Yayasan Food Bank Malaysia atas komitmen berterusan membantu kebajikan pendidikan anak-anak di Miri, serta berharap lebih banyak kerjasama strategik antara komuniti, sektor swasta dan badan bukan kerajaan dapat diteruskan demi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing pada masa hadapan.-EDISI UKAS