Kafe Budaya perkukuh jalinan rentas sempadan dan kefahaman antara budaya di Curtin Malaysia
MIRI: Program Kafe Budaya di Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) menjadi platform berkesan dalam merapatkan hubungan rentas sempadan serta memperkukuh kefahaman budaya serantau melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa, selari dengan aspirasi melahirkan graduan berfikiran global.
Program interaktif pada Isnin itu menghimpunkan lapan pelajar prasiswazah dari Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia, sempena lawatan pengajian perniagaan antarabangsa, sekali gus membuka ruang pertukaran budaya yang bermakna melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Melalui pengisian program, para pelajar dari kedua-dua institusi berpeluang berkongsi identiti budaya masing-masing menerusi pameran makanan tradisional, seni, busana etnik serta interaksi sosial secara langsung yang mencerminkan kepelbagaian budaya serantau.
Pelajar Curtin Malaysia menyediakan beberapa stesen interaktif yang menampilkan juadah dan artifak budaya Sarawak, manakala pelajar UNAIR pula diberi peluang mencuba hidangan tempatan serta memahami dengan lebih dekat adat dan budaya masyarakat setempat.
Salah seorang pelajar UNAIR, Fachrul Ahmad Farizhi, menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman bermakna yang membantu beliau memahami persamaan budaya antara Malaysia dan Indonesia, khususnya melalui elemen makanan tradisional.
Rakannya, Laksamana Salman, turut menyatakan keterujaan untuk mengenali Curtin Malaysia dengan lebih dekat selepas menyertai program berkenaan, yang disifatkan mampu memperluas perspektif serta jaringan antarabangsa pelajar.
Sementara itu, pensyarah kursus dan penganjur program, Fifi Liew Ee En, berkata pengalaman pembelajaran secara langsung seperti Kafe Budaya penting dalam membina kecekapan komunikasi antara budaya dalam kalangan pelajar.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman budaya, malah membantu pelajar membina keyakinan, empati dan kemahiran komunikasi rentas budaya yang amat penting dalam persekitaran global masa kini,” katanya.
Program Kafe Budaya itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran kursus Diploma Pengajian Media di bawah School of Pre-U and Continuing Education (SPACE), sejajar dengan lawatan akademik yang dihoskan oleh Fakulti Perniagaan Curtin Malaysia.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Curtin Malaysia dalam memperkukuh jaringan antarabangsa serta melahirkan graduan holistik yang peka terhadap kepelbagaian budaya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan berdaya saing di peringkat global.-EDISI UKAS