SRI AMAN: Isu keselamatan dan kelancaran akses penduduk khususnya melibatkan perhubungan ke sekolah terus menjadi keutamaan apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis mengadakan lawatan kerja ke dua kemudahan infrastruktur di kawasannya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memaklumkan cadangan untuk membina semula jambatan terlibat telah dikemukakan, selain meminta Jabatan Kerja Raya menyediakan pelan serta reka bentuk bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang selamat dan berdaya tahan.
“Menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk turun padang meninjau serta memantau setiap aduan berkaitan keperluan dan permasalahan rakyat di kawasan DUN Simanggang.
“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama berterusan daripada rakyat agar pelaksanaan projek Kerajaan Sarawak dapat berjalan lancar dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dua lokasi utama yang ditinjau ialah jambatan gantung di Rumah Mary Tuba, Kampung Munggu Demam, Batu Lintang Undop serta jambatan yang menghubungkan penduduk ke Sekolah Kebangsaan Nanga Klassen.
Lawatan dimulakan di Kampung Munggu Demam apabila Tuai Rumah Mary Tuba menyuarakan aduan berhubung pelaksanaan projek penghadang hakisan sungai berhampiran jambatan gantung bernilai RM470,000. Datuk Francis Harden meluangkan masa kira-kira setengah jam meneliti keadaan jambatan berkenaan sebelum meneruskan lawatan ke SK Nanga Klassen.
Ketibaan beliau dan rombongan di sekolah tersebut disambut oleh Guru Besar SK Nanga Klassen, Welfred Manjan Radin yang seterusnya mengiringi rombongan meninjau jambatan utama yang digunakan penduduk setempat dan warga sekolah—akses penting yang menyokong keselamatan murid serta kelangsungan sesi persekolahan.
Lawatan berkenaan turut disertai pegawai Jabatan Kerja Raya dan Majlis Daerah Sri Aman bagi memperhalusi keperluan teknikal serta penyelarasan tindakan susulan.-EDISI UKAS