Dialog Bersepadu Atasi Masalah Saliran & Jalan Di Tanjong Batu
BINTULU: Isu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan jalan raya di beberapa lokasi utama sekitar kawasan Tanjong Batu berjaya ditangani hasil penyelarasan dan perbincangan bersepadu bersama agensi berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, antara projek yang diberi perhatian ialah kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Sibiyu, khususnya di hadapan Taman Ing Ling.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan pembinaan lintasan saliran bertutup yang terus mengalir ke Sungai Sibiyu, namun pelaksanaannya sebelum ini mengalami kelewatan berikutan isu berkaitan utiliti.
“Bagi menyelesaikan perkara itu, semua agensi terlibat telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan secara bersemuka.
“Hasil penyelarasan tersebut, isu berkenaan kini telah diselesaikan dan jalan berkenaan akan diturap semula seperti biasa sebelum Tahun Baharu Cina tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan kontraktor di Pusat Khidmat SUPP di sini, pada Isnin.
Selain itu, Johnny Pang turut memaklumkan mengenai projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan di Jalan Persekutuan Gunasama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Asyikirin yang merangkumi kerja meninggikan aras jalan serta membesarkan saliran sedia ada.
Beliau berkata, beberapa isu kecil turut dikenal pasti dalam pelaksanaan projek berkenaan, namun ia berjaya diselesaikan selepas perbincangan diadakan susulan salah faham antara agensi terlibat.
Menurut beliau, pendekatan perbincangan dan penyelarasan secara berkala bersama agensi berkaitan perlu dijadikan amalan sebelum sebarang pembangunan atau projek baharu dilaksanakan, selain mengambil kira pandangan penduduk yang terkesan dengan penggunaan harian jalan raya.
“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab ini bukan sahaja melibatkan urusan dengan agensi kerajaan, tetapi juga mendengar dan memahami keperluan rakyat di lapangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penduduk di Gem Park turut mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian jangka pendek, termasuk kerja-kerja pengorekan sungai, dan satu cadangan rasmi akan dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi meneliti kaedah terbaik untuk mengalirkan keluar air bertakung.
Johnny Pang turut menegaskan keperluan menaik taraf sistem perparitan dengan menggantikan parit tanah kepada parit konkrit, termasuk melaksanakan kerja-kerja melebarkan dan mendalamkan saliran sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar di Bintulu.-EDISI UKAS