PRS perlu kekal bersatu, perkukuh kerjasama demi pembangunan Sarawak
BINTULU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) perlu terus mengekalkan perpaduan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli dan rakan parti bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan agenda pembangunan negeri.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden PRS, Dato Sri John Sikie Tayai menegaskan, sebagai parti yang berteraskan luar bandar, PRS memainkan peranan strategik sama ada berada dalam kerajaan atau di luar pentadbiran, khususnya dalam menyokong, membantu dan bekerjasama dalam semua perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk memperkukuh pembangunan dan ekonomi masyarakat.
Menurutnya, kesepaduan semua ahli parti amat penting bagi membolehkan PRS mengangkat serta menangani cabaran dan isu yang dihadapi oleh masyarakat Dayak, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kita bernasib baik kerana berjaya mematahkan persepsi lama yang meragui keupayaan kepimpinan Dayak.
“Seperti yang sering saya tegaskan, parti berteras Dayak bukan bersifat sementara, malah mampu berdiri kukuh dan terus relevan dalam landskap politik Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu 2026 sempena Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak ke-2 yang berlangsung di Bintulu, pada Sabtu.
Jelasnya, kerjasama dan perpaduan antara ahli parti di semua peringkat perlu diperkukuh, sambil menyeru kepimpinan parti agar terus menyokong kerajaan negeri serta mempergiat turun padang mendekati rakyat dan memahami keperluan sebenar masyarakat setempat.
Katanya, kerjasama erat dengan ketua-ketua masyarakat serta pimpinan parti di peringkat akar umbi amat penting, khususnya melibatkan wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bagi memastikan peranan dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya berharap usaha berterusan ini dapat mengekalkan kepercayaan rakyat pada pilihan raya akan datang, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan penambahbaikan yang telah dipersetujui di peringkat Sarawak dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Timbalan Presiden PRS, Datuk Majang Renggi, Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan merangkap Ahli Setiausaha Agung PRS, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang serta ADUN Tamin merangkap Ketua Pemuda PRS, Christopher Gira Sambang.-EDISI UKAS