Industri Semikonduktor Tonggak Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menjadikan industri semikonduktor sebagai tonggak strategik pembangunan industri dan ekonomi jangka panjang negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada jaminan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik, pengukuhan infrastruktur perindustrian, pemudahcaraan pelaburan serta kerjasama lebih erat dengan industri dan institusi pendidikan bagi menyokong pembangunan bakat dan peningkatan teknologi.
“Sarawak tidak bermula dari sifar. Kita sudah mempunyai operasi semikonduktor yang mampan serta industri sokongan, disokong oleh bekalan tenaga yang stabil dan berdaya saing daripada hidroelektrik dan tenaga boleh baharu, tanah perindustrian sedia ada serta kumpulan tenaga kerja mahir yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan perbincangan strategik tertutup turut bersama delegasi Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) yang diketuai Presidennya, Dato’ Seri Wong Siew Hai di sini pada Selasa.
Turut hadir Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais serta Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil.
Lawatan peringkat tinggi MSIA melibatkan 33 syarikat dan hampir 50 wakil industri kanan, diketuai Presidennya Dato’ Seri Wong.
Program sehari itu difasilitasi oleh InvestSarawak dan menghimpunkan syarikat multinasional serta pemain teknologi utama merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri semikonduktor.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak melalui MINTRED dan InvestSarawak mengalu-alukan kesediaan MSIA untuk menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab semikonduktor utama, dan berharap agar penglibatan berterusan dapat menyelaraskan dasar negeri, perancangan infrastruktur, pembangunan rantaian bekalan serta inisiatif modal insan selaras dengan keperluan industri.
“Penglibatan ini merupakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih mendalam dengan MSIA dan ahlinya.
“Melalui perkongsian berterusan dengan peneraju industri, Sarawak berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan dan daya tahan industri semikonduktor Malaysia dalam rantaian nilai global,” tambahnya.
Antara syarikat terlibat ialah Infineon Technologies, Intel, X-FAB, Melexis, Motorola Solutions, IBM ASEAN, Applied Materials, Inari, Plexus dan Penguin Solutions (Smart Modular), selain pengeluar peralatan, pakar automasi, firma kejuruteraan bilik bersih, penyedia logistik serta organisasi pembangunan bakat.
Lawatan ini susulan perbincangan awal semasa Forum Pelaburan Semikonduktor Sarawak di Pulau Pinang pada Ogos 2025, yang menyaksikan minat tinggi dalam kalangan ahli MSIA sehingga mendorong penganjuran program tinjauan lapangan khusus di Kuching.
Sepanjang lawatan, delegasi MSIA diberikan taklimat oleh pihak SMD Semiconductor, X-FAB Sarawak dan Melexis yang memberikan gambaran langsung mengenai ekosistem pembuatan serta fabrikasi wafer semikonduktor di Sarawak, merangkumi sesi taklimat industri berstruktur, jaringan perniagaan dan lawatan tapak bagi menonjolkan kesiapsiagaan industri serta rekod operasi negeri ini.
Penyertaan eksekutif kanan daripada syarikat seperti Infineon, Intel, Motorola Solutions, IBM, Applied Materials dan X-FAB, bersama firma teknologi dan kejuruteraan serantau, mencerminkan tahap minat industri yang mendalam terhadap nilai tawaran semikonduktor Sarawak serta potensi peranannya dalam strategi semikonduktor Malaysia secara keseluruhan.-EDISI UKAS