299 Pek Bantuan Makanan Kering Disalurkan di Pantu
PANTU: Operasi penyaluran Bantuan Makanan Kering kepada penduduk terjejas banjir di Daerah Pantu telah berakhir dengan jayanya pada Isnin, sekali gus menandakan tamatnya operasi bantuan yang dilaksanakan selama empat hari berturut-turut bermula 15 Januari lalu.
Pek makanan kering telah dikumpulkan di Aldi Supermarket di sini pada jam 9 pagi sebelum dibawa ke Perkarangan Pejabat Daerah Pantu bagi tujuan pengagihan kepada penduduk yang terlibat.
Bantuan berkenaan telah disalurkan ke lapan lokasi rumah panjang dan kampung melibatkan kawasan Muding, Tinting Mang, Tuba dan Empaling Asal.
Operasi penyaluran bantuan ini dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDP serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Dalam pada itu, Pejabat Daerah Pantu memaklumkan, keadaan banjir di daerah berkenaan telah pulih sepenuhnya dan tiada lagi kejadian banjir direkodkan setakat ini.
Hujan juga dilaporkan telah reda sejak tiga hari lalu, dengan keadaan cuaca berada dalam keadaan baik dan terkawal sepanjang tempoh tersebut. -EDISI UKAS