Projek Tanaman Kopi AFF Jaya Tani Pacu Pembangunan 'Coffee Belt' Sarawak
LUNDU: Projek tanaman kopi di bawah Program AFF Jaya Tani yang dilaksanakan di Kampung Pasir Hulu terus dilihat sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh industri kopi tempatan serta meningkatkan tahap sosioekonomi pekebun kecil dan keluarga tani di kawasan luar bandar.
Projek yang diterajui oleh Jabatan Pertanian Sarawak itu menyasarkan pembangunan kawasan tanaman kopi berpusat seluas kira-kira 50 hektar, sekali gus menjadi langkah awal ke arah merealisasikan pembangunan 'coffee belt' di Sarawak.
Seramai 52 orang penduduk Kampung Pasir Hulu telah dikenal pasti dan menunjukkan minat serta komitmen untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti penanaman kopi secara komersial yang turut memberi tumpuan kepada pembangunan usahawantani, khususnya dalam aspek pengeluaran dan pemprosesan hasil tanaman melalui industri hiliran.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek tersebut dan berharap agar ia dapat diteruskan secara berperingkat serta memberi manfaat berpanjangan kepada penduduk setempat.
“Para petani di Kampung Pasir Hulu boleh mencontohi rakan-rakan mereka di Kampung Stenggang yang kini sedang giat mengusahakan penanaman kopi dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan,” katanya berucap dalam majlis perasmian projek tersebut pada Rabu.
Menurut beliau, beberapa penduduk setempat ketika ini telah mula mengusahakan tanaman kopi secara aktif dan menekankan kepentingan kerjasama berterusan dengan agensi pelaksana.
Billy menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan keperluan dan kebajikan pekebun kecil di kawasan tersebut melalui permohonan kepada pihak kerajaan agar bantuan dapat disalurkan bagi membantu pekebun kecil yang terlibat dalam projek ini.
Justeru, beliau berharap agar penanaman kopi ini akan berhasil dan memberi pulangan yang baik kepada para petani serta komuniti setempat.
Untuk rekod, satu kertas kerja telah dikemukakan bagi memohon peruntukan keseluruhan sebanyak RM2,013,893.28 bagi tempoh dua tahun, merangkumi pembangunan kawasan ladang, penyediaan benih tanaman, input pertanian, latihan peserta serta perolehan mesin pemprosesan kopi. -EDISI UKAS