SeDidik Terus Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Di Sarawak
KUCHING: SeDidik terus mencatat pencapaian signifikan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak menerusi perluasan akses pendidikan prasekolah, pemerkasaan kualiti guru serta penggunaan teknologi digital dalam saringan dan intervensi awal kanak-kanak, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Seri Fatimah Abdullah berkata, SeDidik telah berjaya muncul tonggak utama dalam agenda pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini, khususnya dalam memastikan akses pendidikan awal yang menyeluruh kepada kanak-kanak di seluruh Sarawak.
“Perkara lain yang kami tekankan adalah kesertaan, keadilan dan inklusiviti. Alhamdulillah, pencapaian yang telah diraih oleh SeDidik, saya boleh katakan ketiga-tiga ini sudah dicapai oleh SeDidik.
“SeDidik membantu penyedia tadika dan pendidikan awal kanak-kanak yang lain untuk memastikan akses anak-anak Sarawak kepada pendidikan awal kanak-kanak mencapai sehingga 98 peratus,” katanya semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik, pada Rabu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak‑Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus serta Pengurus Besar SeDidik, Ayub Dahari.
Beliau menambah, selain akses dan kualiti, prinsip keterangkuman dan keadilan turut menjadi teras utama pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak di bawah SeDidik.
Tegasnya, setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan, harus diberikan peluang sama untuk berkembang secara optimum.
“Dari segi kualiti, perkara yang juga telah kita capai, kami mahu semua guru SeDidik layak dan bertauliah. 100 peratus guru SeDidik mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ada yang kini mempunyai ijazah sarjana muda, dan ada yang setaraf dengan diploma juga,” jelas beliau.
Tambah beliau, sasaran tersebut berjaya dicapai sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025, termasuk guru-guru yang mengikuti program diploma pendidikan secara dalam perkhidmatan.
“Jadi, kami telah mencapainya pada akhir 2025, termasuk guru-guru kita yang mengikuti program diploma dalam pendidikan semasa dalam perkhidmatan.
“Kini, kami berasa bangga untuk menyatakan bahawa semua guru SeDidik layak dan bertauliah, dengan kelayakan minima diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak. Itu merupakan satu lagi pencapaian penting yang telah diraih oleh SeDidik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan Program Digital Development Screening Tool (TOY8) yang dilihat mampu memperkukuh saringan perkembangan dan intervensi awal kanak-kanak secara lebih menyeluruh.- EDISI UKAS