Serian Tuan Rumah Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak 2026
SERIAN: Bahagian Serian bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Februari 2026, sekali gus mencatatkan penganjuran kali ke-65 sejak ia mula dianjurkan pada tahun 1960.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran majlis berprestij itu adalah sebahagian daripada perayaan Islam dan upacara rasmi Kerajaan Sarawak yang diadakan setiap tahun.
Jelasnya, Majlis Islam Sarawak (MIS) telah diamanahkan sebagai peneraju utama penganjuran dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Residen Bahagian Serian selaku pengelola utama, serta sokongan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan dan pihak berkaitan.
"Objektif penganjuran majlis tersebut adalah untuk menyemarakkan kecintaan umat Islam terhadap Al-Quran sebagai kitab suci yang syumul, melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah yang berkaliber di Sarawak, serta memperkukuh usaha dakwah bagi meningkatkan keimanan, ketakwaan dan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Serian, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, tema penganjuran pada tahun ini kekal “Ummah Maju dan Makmur”, selaras dengan tema perayaan-perayaan Islam utama di Sarawak sepanjang tahun.
Pengerusi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak itu menjelaskan, seramai 43 peserta mengambil bahagian pada tahun ini, melibatkan kategori Tilawah dan Hafazan.
Bagi kategori Tilawah, seramai 22 peserta terlibat terdiri daripada 13 qari dan 9 qariah. Manakala kategori Hafazan pula disertai 21 peserta iaitu 15 hafiz dan 6 hafizah dengan hampir semua bahagian di Sarawak menghantar wakil masing-masing kecuali Sri Aman dan Kapit.
Kategori Hafazan dibahagikan kepada tiga pecahan iaitu Juzuk 1–10, Juzuk 1–20 dan Juzuk 1–30. Bagi Juzuk 1–10 dan 1–20, setiap kategori disertai lapan peserta, manakala kategori Juzuk 1–30 disertai lima orang hafiz lelaki.
Johan Tilawah Qari dan Qariah masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.
Bagi kategori Hafazan pula, hadiah johan adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada kategori juzuk, selain piala, hadiah iringan dan sijil.
Majlis ini turut diserikan dengan hampir 10 acara iringan yang diatur sepanjang penganjuran di Serian di aman acara perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 4 Februari kelak.
Manakala, kemuncak majlis ialah Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada 7 Februari.
Datuk Dr Abdul Rahman berharap penganjuran ini terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh peranan Al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda di Sarawak. -EDISI UKAS