Program Tahun Baharu Cina Eratkan Silaturahim Warga Emas di Piasau
MIRI: Suasana mesra dan penuh keceriaan mewarnai Program Senior Citizen Chinese New Year Gathering anjuran Miri Piasau Senior Citizen Joyfull Club yang berlangsung di Pusat Warga Emas, di sini, pagi Ahad.
Program sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu bertujuan menghimpunkan warga emas bagi mengeratkan silaturahim, selain menyediakan ruang interaksi sosial dalam suasana harmoni dan penuh kekeluargaan.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Sebastian Ting menzahirkan harapan agar semua warga emas yang hadir sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, murah rezeki serta kehidupan yang sejahtera.
Beliau turut berharap agar Tahun Kuda membawa lebih banyak peluang dan kebaikan berbanding tahun sebelumnya, di samping menyeru semua pihak agar terus menghargai suasana politik Sarawak yang aman dan stabil.
Menurut beliau, keharmonian dan kestabilan politik di Bumi Kenyalang merupakan asas penting kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri yang berterusan.
Program seumpama ini, katanya, bukan sahaja menceriakan warga emas, malah menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan, semangat kebersamaan serta memastikan kebajikan golongan tersebut terus diberi perhatian oleh masyarakat dan kepimpinan setempat. - EDISI UKAS