19 Pegawai Kanan SCS Sertai Program Perkembangan Kerjaya
KUCHING: Seramai 19 pegawai kanan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) menyertai Program Berfikir dan Bertindak Seperti Seorang Pemimpin: Program Perkembangan Kerjaya SCS yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Januari hingga 1 Februari 2026.
Program anjuran Leadership Institute of Sarawak Civil Service (LISCS) dengan kerjasama Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Premier serta rakan strategik ‘Razak School of Government’ (RSOG) itu bertujuan memperkukuh minda kepimpinan, pemikiran strategik dan keupayaan pelaksanaan dalam kalangan pegawai kanan selaras dengan agenda pembangunan Sarawak.
Turut serta dalam program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali serta Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar yang berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai kepimpinan sektor awam.
Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyifatkan kepimpinan sebagai satu 'panggilan', sambil menekankan bahawa kepimpinan berkesan bermula dengan minda yang betul serta memerlukan peralihan daripada pendekatan reaktif kepada kepimpinan berwawasan dalam membentuk masa depan negeri.
Jelasnya, kepimpinan yang berkesan perlu berlandaskan kepraktisan, kerja berpasukan dan integriti.
"Kepimpinan ditentukan oleh tahap tanggungjawab, kesediaan untuk terus belajar serta keupayaan menterjemahkan hasrat kepada hasil yang memberi manfaat kepada organisasi, rakyat dan Sarawak secara keseluruhan," jelasnya.
Dato Sri Saferi pula menegaskan peranan pemimpin sektor awam sebagai pemegang amanah kepada asas perundangan, institusi dan tadbir urus negeri, di samping menekankan kepentingan pembuatan keputusan berprinsip serta keselarasan yang kukuh bagi menjamin kemajuan jangka panjang Sarawak.
Program berkenaan turut menampilkan sesi panel bertajuk ‘Digital Thinking, AI and the Future’ yang membincangkan peranan transformasi digital dan kecerdasan buatan dalam membentuk landskap kepimpinan serta perkhidmatan awam masa hadapan. -EDISI UKAS