MIRI: Kepentingan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus diberi penekanan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, ini bagi memastikan bantuan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh institusi keagamaan.
Beliau juga menjelaskan pihak gereja diingatkan supaya memproses deposit cek dengan segera memandangkan tempoh sahnya hanya tiga bulan.
"Pihak gereja diserunmenggunakan dana ini dengan berhemah dan menyediakan laporan segera mengenai penggunaannya.
“Sekiranya peruntukan ini masih tidak mencukupi, pihak gereja boleh membuat permohonan tambahan bagi menampung keperluan yang belum dilaksanakan,” katanya semasa menyerahkan dua cek daripada UNIFOR kepada pihak Gereja Full Gospel Sarawak Cawangan Miri dan BEM Daerah Miri di sini pada Ahad.
Dalam majlis tersebut, Gereja Full Gospel Sarawak Cawangan Miri menerima cek berjumlah RM90,000 untuk menaik taraf sistem audio, skrin LED, serta sistem penstriman langsung dan penyiaran.
Sementara itu, BEM Daerah Miri menerima cek sebanyak RM49,000 untuk kelengkapan pejabat.
Majlis penyerahan cek UNIFOR itu mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap pembangunan institusi keagamaan dan usaha meningkatkan fasiliti komuniti di Miri.–EDISI UKAS