Peranan Wanita Perkukuh Kekuatan Peringkat Akar Umbi
BINTULU: Peranan wanita sebagai tonggak di peringkat akar umbi terus diiktiraf, khususnya dalam memastikan kelangsungan perjuangan serta kestabilan organisasi ketika berdepan pelbagai cabaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, Wanita PBB memainkan peranan utama dalam memastikan kelangsungan parti, terutamanya ketika menghadapi pelbagai cabaran.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti terletak pada kesetiaan ahli yang sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan.
“Yang paling penting dalam perjuangan bukan siapa yang berada di hadapan, tetapi siapa yang kekal setia ketika keadaan sukar. Peranan itu dipikul oleh wanita,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih anjuran Pergerakan Wanita PBB Jepak di sini pada Sabtu.
Iskandar menegaskan wanita bukan sahaja tulang belakang parti, malah pembentuk masyarakat melalui peranan dalam keluarga, komuniti dan organisasi.
Katanya, kekuatan akar umbi yang dibina oleh wanita memastikan parti terus relevan dan diyakini rakyat.–EDISI UKAS