Kestabilan Politik Sarawak Pemangkin Pembangunan Berterusan
LIMBANG: Kestabilan politik di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menjadi asas kepada pembangunan Sarawak yang konsisten dan berterusan, sekali gus memastikan pelaksanaan dasar serta perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata Sarawak kekal menikmati pembangunan yang mampan sejak lebih 20 tahun lalu hasil kestabilan politik serta kepimpinan GPS yang berpandangan jauh, walaupun negara berdepan ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.
“Walaupun kerajaan Persekutuan sering bertukar, GPS kekal stabil dengan kepimpinan sendiri, khususnya di bawah teraju Premier Sarawak. Justeru, Sarawak dilihat sebagai antara negeri yang terus ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota, pada Sabtu.
Menurut beliau, kepimpinan Premier Sarawak sentiasa memberi penekanan terhadap kebajikan rakyat termasuk usaha meningkatkan tahap pendapatan rakyat secara berperingkat dan mampan.
“Kerajaan Sarawak mempunyai visi dan misi yang jelas serta perancangan pembangunan yang mantap. Oleh itu, sokongan padu perlu diberikan kepada calon yang dipilih oleh kepimpinan tertinggi GPS,” katanya.
Mengulas spekulasi berkaitan pilihan raya, beliau menegaskan bahawa PBB dan GPS sentiasa bersedia serta akan akur kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Ura-ura mengenai pilihan raya sememangnya hangat diperkatakan, namun kita bersedia dan akan mengikut apa jua keputusan Premier Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa PBB Bukit Kota berada dalam keadaan siap siaga dengan jentera parti yang kukuh serta komited untuk mendukung agenda dan aspirasi kepimpinan GPS demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sarawak terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha PBB Cawangan Bukit Kota dalam memperkukuh perpaduan serta semangat berpasukan menerusi penganjuran aktiviti sukan yang melibatkan Badan Bapa, Wanita, Pemuda dan Belia, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli parti.
Majlis tersebut turut dihadiri Naib Ketua Cawangan Bukit Kota merangkap Ketua Pemuda PBB Cawangan dan Pengerusi Pengelola Sukan PBB Bukit Kota, Sufian Mohat, Naib Ketua Cawangan merangkap Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Kota, Niti Rosli, Timbalan Pengerusi Pengelola Sukan PBB, Fedrick Lalung Ngilo serta wakil Ketua Belia PBB Cawangan Bukit Kota, Racheal Ramon.- EDISI UKAS