SUPP Miri-Sibuti Terus Tradisi Agih Limau Mandarin Sempena TBC
MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri-Sibuti meneruskan tradisi tahunan pengagihan limau mandarin sempena Pra-Tahun Baharu Cina 2026 sebagai tanda keprihatinan dan usaha mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Program pengagihan tersebut berlangsung di sekitar Pasar Lutong pada pagi Ahad dengan kehadiran kepimpinan SUPP serta ahli-ahli parti dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengagihan limau mandarin itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang.
Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Parlimen SUPP Miri-Sibuti, aktiviti tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat setempat, khususnya komuniti Cina di Miri, malah menjadi platform untuk berkongsi kegembiraan perayaan serta menyebarkan nilai kasih sayang dan kebersamaan.
“SUPP sentiasa prihatin terhadap kebajikan komuniti, khususnya ketika musim perayaan.
"Melalui program seperti ini, penduduk setempat dapat merasai kehangatan sambutan perayaan dan sokongan berterusan daripada pimpinan parti,” menurut kenyataan itu.
Rombongan pengagihan limau mandarin turut disertai kaunselor serta ahli-ahli SUPP dari tiga DUN, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kepimpinan serta jentera parti.
Program berkenaan juga dilihat sebagai usaha berterusan SUPP dalam memupuk hubungan erat dengan rakyat serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di bandar raya Miri.- EDISI UKAS