Naik Taraf Fasiliti Sukan SEA 2027 Perlu Siap Ikut Jadual
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memastikan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan bagi persiapan Sukan SEA 2027 disiapkan mengikut jadual ditetapkan meskipun berdepan tempoh pelaksanaan yang singkat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua pihak termasuk kontraktor dan agensi pelaksana perlu memberikan komitmen penuh bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau menegaskan, masa pelaksanaan yang diperuntukkan amat mencabar namun yakin kontraktor yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Kita sedar tempoh yang diberikan agak singkat, kira-kira sembilan hingga 12 bulan, namun saya percaya kontraktor yang telah dikenal pasti mampu menyiapkannya. Jika perlu bekerja pada waktu malam bagi mengejar jadual, maka ia perlu dilakukan.
“Ini adalah acara yang sangat penting. Ia bukan sahaja melibatkan imej Sarawak, malah imej Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan dan taklimat projek naik taraf fasiliti sukan sebagai persiapan temasya berkenaan di Kuching pada Khamis.
Menurut beliau, penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak merupakan satu tanggungjawab besar memandangkan ia kali pertama temasya berprestij itu diadakan di luar Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri katanya telah memberikan komitmen penuh termasuk menyediakan jaminan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Kita telah membuat komitmen kepada Kerajaan Negeri dan saya sendiri telah menandatangani jaminan yang telah dihantar kepada Kabinet Negeri. Ini menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menjayakan penganjuran temasya ini,” ujarnya.
Tambah beliau, semua kerja naik taraf perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan supaya fasiliti memenuhi piawaian pertandingan antarabangsa.
Antara fasiliti yang terlibat ialah Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Borneo Cricket Ground Sarawak, Pusat Skuasy Petra Jaya, Lapang Sasar Memanah, Lapang Sasar Menembak, fasiliti petanque di Santubong, Arena Lawn Bowl Sarawak, gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Pusat Latihan Wushu serta Stadium Perpaduan, Petra Jaya bagi acara gimnastik.
Secara keseluruhan, sebanyak 11 projek telah diluluskan dengan jumlah peruntukan RM184,321,805 juta dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Projek dijadual bermula pada suku pertama dan kedua 2026 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama dan kedua 2027.
Pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja bagi memastikan kesiapsiagaan venue rasmi Sukan SEA 2027, malah menjadi pelaburan strategik jangka panjang dalam memperkukuh pembangunan sukan negeri serta menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia kepada atlet Sarawak dan Malaysia.-EDISI UKAS