24 Peserta Layak ke Pentas Akhir Pertandingan Ikon Gawai Dayak Bahagian Miri 2026
MIRI: Seramai 24 peserta berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir pertandingan Dayung Sangon, Keligit Orang Ulu, Kumang Iban serta Keling dan Belawan sempena Sambutan Gawai Dayak Bahagian Miri 2026 selepas menampilkan persembahan cemerlang pada peringkat separuh akhir, pada Sabtu.
Pertandingan yang berlangsung di Pentas Utama, Pusat Membeli-belah Boulevard itu menyaksikan saingan sengit melibatkan 36 peserta, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi dalam memartabatkan keindahan serta keunikan warisan budaya masyarakat Dayak.
Pusingan akhir pertandingan berprestij tersebut dijadualkan berlangsung pada 16 Mei 2026, jam 6.30 petang di Grand Ballroom, Aras 7, Meritz Hotel, Miri, yang dijangka menjadi tumpuan masyarakat setempat serta peminat seni budaya.
Bagi kategori Keling dan Belawan, enam finalis yang terpilih ialah Charles Clement Christopher, Heyward Hezron Lim, Nevil Leslie Gat, Malvist Buyong, Howard Ngau Lawai dan Chai Zi Jian.
Kategori Dayung Sangon pula menampilkan Charlotte Danyo, Angela Lou Christina Pinum, Melanie Joyce Jeman, Vanessa Calvary Douglas, Marchelin Maria Martin dan Cynthia Aren Ajang sebagai finalis.
Dalam kategori Keligit Orang Ulu, Clairesa Mary Mujan Desmond, Rennie Bulan Johnny, Dorea Zoe Mening Simeon, Stacy Rosedyana Sigar, Jessica Puyang Vincent dan Stephanie Vincent turut berjaya menempah tempat ke pentas akhir.
Sementara itu, kategori Kumang Iban menyaksikan Ilmeilyana Agulera Lian, Michelle Allison Omban Eddy, Vanessa Serawa Suel, Vivian Chai Zu Ing, Sylviana Rinya Galing dan Florennisya Urai Nudong dipilih sebagai finalis.
Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan keanggunan dan identiti budaya setiap etnik, malah berperanan sebagai medan mencungkil bakat baharu bagi mewakili Bahagian Miri ke Festival Etnobudaya dan Bazaar Gawai Dayak 2026 peringkat negeri.-EDISI UKAS