Aetherstrike Bowlers Juara Megalanes Sarawak Novice Trios League Musim II
KUCHING: Saingan Megalanes Sarawak Novice Trios League Musim II melabuhkan tirainya pada Rabu lalu dengan menyaksikan Aetherstrike Bowlers dinobatkan selaku juara keseluruhan.
Detik penuh bergaya itu dilakar pasukan itu menerusi Pusingan Penentuan Kedudukan yang menghimpunkan 18 pasukan bersaing dalam aksi penutup yang mendebarkan.
Selepas menampilkan aksi cemerlang selama beberapa minggu, Aetherstrike Bowlers yang kekal dengan aksi konsisten memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.
Prestasi cemerlang mereka melayakkan pasukan itu merangkul gelaran liga serta hadiah kejuaraan berjumlah RM1000, sekali gus menjadi pencapaian membanggakan dalam pertandingan pembangunan ini.
Pusingan Penentuan Kedudukan yang berlangsung pada 29 April lalu menentukan kedudukan akhir pasukan, dengan setiap pasukan berentap secara bersemuka berdasarkan ranking masing-masing.
Rolling Stone JR dan D’Cops melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas menampilkan persembahan mantap sepanjang musim dan memberikan saingan sengit kepada juara akhirnya.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, khususnya pasukan yang menduduki tangga keempat hingga ke-18 atas dedikasi, semangat kesukanan dan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang musim berlangsung.
Pengiktirafan turut diberikan kepada Ladies Bowler IV, SDO Mixed, PTBPNS 1, FRDM Bowlers, Pinhead, Rollin’ Strike, Strike Hunter, PTBPNS 2, Zero Strike, Bowl Dozers, Jabatan Premier Sarawak (UP), Kokodai Bowlers, SUK Bowlers, Al-Bait Bowler dan Strong Women Stay Young yang menampilkan komitmen serta semangat jitu sepanjang liga berlangsung.
Selain gelaran juara, Aetherstrike Bowlers turut merangkul gelaran tambahan apabila pemainnya, Abg Muhd Fauzan menggondol kategori Individual High Game (Scratch) selepas mencatatkan balingan tertinggi dengan 268 jatuhan pin pada minggu keempat, diikuti Muhammad Jamadil Arsyad (Zero Strike) dengan 254 jatuhan pin pada minggu ke-11.
Dalam kategori handicap pula, Nur Amalina Mohd Mosadad (PTBPNS 1) mendahului kategori Individual High Game (Handicap) dengan 254 jatuhan pin pada minggu keenam, diikuti Afiq Zainal Abidin (Rolling Stone JR) dengan 244 jatuhan pin.
Kategori Individual High Series (Scratch) didominasi oleh Abg Muhd Fauzan dengan catatan cemerlang 812 jatuhan pin pada minggu Ke-16, manakala rakan sepasukannya, Afiq Jazimin Hazman mencatatkan 784 jatuhan pin pada minggu Ke-10.
Azeera Jalani (PTBPNS 1) pula merekodkan Individual High Series (Handicap) dengan 787 jatuhan pin pada minggu kesembilan, diikuti Ahmad Faris Azli (FRDM Bowlers) dengan 749 jatuhan pin pada minggu Ke-17.
Bagi prestasi pasukan, SDO Mixed mencatatkan Team High Game (Scratch) dengan 628 jatuhan pin pada minggu kelapan, manakala Aetherstrike Bowlers merekodkan Team High Game (Handicap) dengan 624 jatuhan pin pada minggu Ke-16.
Aetherstrike Bowlers turut meraih Team High Series (Scratch) menerusi catatan 2177 jatuhan pin pada minggu Ke-16, sementara Rolling Stone JR memenangi Team High Series (Handicap) dengan 2024 jatuhan pin pada minggu Keenam.
Dalam kategori wanita, Azera Jalani (PTBPNS 1) dinobatkan sebagai Best Female (Scratch) dengan catatan 767 jatuhan pin pada minggu kesembilan, manakala Nur Amalina Mohd Mosadad turut meraih Best Female (Handicap) dengan 746 jatuhan pin pada minggu keenam.
Norsita Umar (D’Cops) pula memenangi Best Senior (Scratch) dengan 628 jatuhan pin pada minggu pertama, sementara Roselina Daud (D’Cops) meraih Best Senior (Handicap) dengan 665 jatuhan pin pada minggu ketujuh.
Dianjurkan bagi mencungkil bakat pemain boling baharu serta menyediakan platform persaingan yang kompetitif namun kondusif, Novice Trios League terus memainkan peranan penting dalam pembangunan boling di peringkat akar umbi di Sarawak.
Musim II menyaksikan peningkatan penyertaan dan mutu permainan yang lebih tinggi, sekali gus menetapkan penanda aras kukuh untuk edisi akan datang.
Megalanes Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penyokong dan pegawai yang menyumbang kepada kejayaan liga ini.
Dengan momentum yang semakin meningkat, Megalanes Sarawak berharap dapat menganjurkan lebih banyak pertandingan menarik pada masa akan datang. - EDISI UKAS