Sarawak Laksana Operasi Pembenihan Awan, Pastikan Paras Air Empangan Kekal Stabil
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan empangan utama negeri ini bagi memastikan kestabilan sumber air, penjanaan tenaga hidroelektrik serta bekalan air mentah terus terjamin.
Operasi yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mei itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi berkaitan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kelangsungan sumber air bagi memenuhi keperluan penjanaan tenaga, bekalan air serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
Menurut beliau, pihak kerajaan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca yang semakin tidak menentu melalui pendekatan teknologi dan kerjasama pelbagai agensi.
"Operasi pembenihan awan hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan serta penilaian teknikal tertentu seperti ketika berlakunya jerebu atau paras air empangan berada pada tahap rendah yang boleh menjejaskan bekalan air dan penjanaan tenaga," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan JPBNS pada Isnin.
Beliau menambah, pelaksanaan operasi tersebut tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia bergantung kepada kajian meteorologi, keadaan atmosfera dan kewujudan sistem awan yang sesuai bagi memastikan keberkesanan operasi.
Antara kawasan sasaran operasi ialah kawasan tadahan Batang Ai Dam, Bakun Dam dan Murum Dam, manakala RMAF Kuching Air Base dijadikan pusat operasi dan koordinasi penerbangan.
Operasi berkenaan bertujuan meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan strategik bagi menyokong kestabilan paras air yang kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air negeri.
Selain meningkatkan taburan hujan di kawasan sasaran, operasi tersebut juga bertujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan air serta memperkukuh langkah mitigasi terhadap kesan cuaca kering dan fenomena El Niño serta La Niña.
Pelaksanaan operasi dilakukan menerusi penerbangan pesawat pada altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang berpotensi menghasilkan hujan.
Pada masa sama, pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera dilaksanakan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan tahap keberkesanan serta keselamatan operasi sentiasa terkawal.
Antara agensi lain yang turut terlibat ialah Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Energy Berhad dan Sarawak Water Sdn Bhd. -EDISI UKAS