UNIMAS Pacu Transformasi Pendidikan Lestari, Tekad Perkasa Impak Global
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi berimpak global dengan pelancaran Pelan Strategik 2026–2030 yang menekankan agenda kelestarian dunia berteraskan kearifan Borneo.
Pelan strategik baharu itu memperkenalkan kerangka transformasi I-D-E-A merangkumi ‘Inspiring People, Driving Innovation, Enhancing Global Influence dan Advancing Sustainability’, selaras aspirasi universiti untuk terus relevan di pentas antarabangsa tanpa mengabaikan identiti tempatan.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit menegaskan bahawa pelan tersebut menjadi kompas hala tuju universiti dalam mendepani cabaran masa depan pendidikan tinggi dan perubahan landskap global.
Beliau berkata universiti bukan sekadar institusi akademik semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai pemacu pembangunan wilayah dan masyarakat.
“Universiti ini bukan sekadar menara gading yang terasing, sebaliknya merupakan nadi ilmu dan kepakaran yang memacu pembangunan wilayah serta kesejahteraan masyarakat.
“Berteraskan prinsip Borneo Rooted: Global Impact, kita komited membina ekosistem pendidikan yang melahirkan graduan berfikiran kritis, berjiwa seimbang serta mempunyai semangat kecintaan terhadap tanah air dan kemanusiaan sejagat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2026 yang berlangsung di Arena Gemilang DeTAR UNIMAS, di sini, pada Jumaat.
Pelancaran pelan strategik tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.
Sepanjang tahun 2025, universiti itu merekodkan pelbagai pencapaian membanggakan termasuk peningkatan kedudukan dalam THE Impact Rankings 2025 kepada kelompok 101–200 terbaik dunia, selain muncul sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menerbitkan laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara komprehensif.
Kecemerlangan penyelidikan turut terserlah apabila tujuh penyelidik universiti tersenarai dalam kelompok dua peratus pakar terbaik dunia, selain penubuhan Fakulti Undang-Undang pertama di Sarawak yang dijadual memulakan pengambilan pelajar pada sesi 2026/2027.
Universiti itu turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Grand Award pada Malaysia International HR Awards 2025 selain memenangi beberapa anugerah kecemerlangan pengurusan sumber manusia.
Bagi tahun 2026, beberapa inisiatif utama akan dilaksanakan termasuk pembangunan ‘SmartFlex Ecosystem’ yang memfokuskan bidang kelestarian, gerontologi dan pengetahuan peribumi, selain penubuhan ‘Global Futures Transdisciplinary Institute’ bersama dua pusat penyelidikan baharu dalam bidang bioinovasi serta warisan arkeologi.
Transformasi digital turut diperkukuh melalui aplikasi SYNTERA bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pelajar berasaskan data, di samping peluasan kebajikan pelajar menerusi SULUNG 2.0+ dan Dapur Siswa Madani.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Ramlah Zainudin serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Swasta) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Datu Ik Pahon Joyik. -EDISI UKAS