66 Gerai, 66 Harapan: Bazar Ramadan Kota Sentosa Denyut Rezeki Komuniti
KUCHING: Setiap petang Ramadan, deretan 66 gerai di Bazar Ramadan Kota Sentosa menjadi saksi keringat para penjaja kecil yang gigih mencari rezeki demi keluarga.
Di sebalik kemeriahan pengunjung yang tidak putus-putus hadir mendapatkan juadah berbuka, penganjuran berterusan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dilihat sebagai suntikan penting kepada kelangsungan ekonomi komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin memuji komitmen konsisten MPP yang terus menganjurkan bazar tersebut saban tahun, sekali gus memeriahkan suasana Ramadan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu.
Menurut beliau, bazar Ramadan bukan sekadar acara bermusim, tetapi platform ekonomi yang memberi peluang kepada usahawan mikro dan penjaja kecil menjana pendapatan tambahan, khususnya dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Usaha seperti ini memberi impak langsung kepada rakyat. Ramai penjaja bergantung kepada Ramadan sebagai musim terbaik untuk meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MPP atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kota Sentosa yang dilaksanakan oleh pihak majlis, termasuk penambahbaikan kemudahan awam yang memberi manfaat kepada peniaga dan pengunjung.
Mengimbas kembali, beliau berkata Sentosa Town Square sebelum ini berada dalam keadaan kurang memuaskan ketika beliau mula memegang amanah sebagai wakil rakyat.
Namun melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM500,000, kerja-kerja naik taraf berjaya dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi penyediaan tandas baharu, pentas serta kemudahan sokongan lain.
Katanya, transformasi tersebut bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah memperkukuh imej kawasan sebagai lokasi penganjuran program komuniti dan aktiviti ekonomi.
“Projek ini adalah hasil kerjasama erat antara wakil rakyat dan MPP. Tanpa komitmen serta sokongan pihak majlis, usaha ini tidak mungkin dapat direalisasikan,” ujarnya.
Selain itu, projek naik taraf pasar awam berhampiran turut dilaksanakan secara berperingkat. Fasa pertama melibatkan peruntukan RM400,000 telah siap sepenuhnya, manakala fasa kedua bernilai RM205,000 kini dalam pelaksanaan.
Inisiatif ini dijangka meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan peniaga serta pelanggan.
Mengulas mengenai kapasiti bazar, beliau memaklumkan bahawa tapak sedia ada telah mencapai had maksimum dengan 66 gerai, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga tempatan.-EDISI UKAS