Bazar Ramadan Asajaya–Tambirat Denyut Nadi Ekonomi Rakyat, Kerajaan Perkukuh Sokongan Usahawan Mikro
ASAJAYA: Di sebalik deretan khemah dan aroma juadah berbuka yang menyelerakan, Bazar Ramadan di Asajaya dan Tambirat bukan sekadar medan jual beli, tetapi nadi rezeki ratusan keluarga yang bergantung kepada pendapatan harian sepanjang bulan Ramadan.
Program Walkabout Bazar Ramadan yang diketuai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menjadi platform mendekatkan kepimpinan negeri dengan denyut kehidupan sebenar para penjaja kecil yang gigih mencari rezeki.
Tinjauan bermula seawal jam 2 petang di Bazar Pekan Asajaya dengan kehadiran beliau disambut mesra peniaga dan pengunjung.
Beliau meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar serta meninjau sendiri kepelbagaian juadah dan kualiti penyediaan makanan yang ditawarkan.
Program kemudian diteruskan ke Bazar Pusat Penjaja MPKS Tambirat, di mana beliau menyempurnakan sesi memotong riben sebagai simbolik perasmian walkabout di pusat penjaja tersebut.
Dalam usaha memupuk budaya kebersihan dan profesionalisme, beliau turut menyampaikan apron kepada wakil penjaja, satu simbol komitmen kerajaan negeri dalam memastikan aspek keselamatan makanan dan imej perniagaan sentiasa terpelihara.
Bercakap kepada media, beliau menegaskan bahawa bazar Ramadan di Asajaya dan Tambirat kini semakin dikenali dan berpotensi menjadi tarikan luar.
"Pasar Ramadan ini semakin dikenali umum. Di Asajaya dan Tambirat sahaja, kita mempunyai lebih 60 gerai yang menyediakan kemudahan buat penduduk pelbagai kaum mendapatkan juadah.
"Ramai orang dari Kuching datang ke sini untuk membeli-belah barang keluaran tani dan laut, malah kita dimaklumkan ada bas pelancong turut membawa pelawat ke sini,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan, sesi penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat turut diadakan sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peniaga, yang jelas mempamerkan semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Hadir sama Timbalan Residen Kota Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr. Abang Ismawi Abang Ali, Temenggung Melayu Kota Samarahan, Haji Chek Haji Bujang, Pengerusi Uptown Asajaya, Mohd Bustari Baie serta Pengerusi Pusat Penjaja MPKS Tambirat, Asrizal Amran.-EDISI UKAS