KUCHING: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan di Bahagian Kuching susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan setempat setakat jam 12 tengah hari, Sabtu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan, hanya satu PPS dibuka setakat ini bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
PPS di Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong itu kini berfungsi sebagai lokasi pemindahan penduduk yang terkesan akibat kenaikan paras air.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan bahawa petugas akan segera ke lokasi bagi memastikan semua mangsa didaftarkan dalam sistem InfoBencana, sekali gus memudahkan proses penyelarasan bantuan dan pemantauan kebajikan.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sekiranya keadaan cuaca serta paras air menunjukkan peningkatan.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa berkaitan.-EDISI UKAS