Kempen “Perhati & Pilih” Perkasa Kesedaran Keselamatan Makanan di Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan mempergiat usaha memperkasa kesedaran kesihatan awam menerusi Program Walkabout Bazar Ramadan Tahun 2026 yang diadakan di Bazar Ramadan Uptown Desa Ilmu pada petang Jumaat.
Program tersebut dianjurkan bersempena Kempen “Perhati & Pilih” Juadah Ramadan, Kempen Nafas Baharu Sempena Ramadan serta Kempen Kurangkan Gula yang dirasmikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mathew Gabriel Bain mewakili Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan.
Walkabout berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengunjung mengenai kepentingan membuat pilihan makanan secara bijak dan selamat ketika membeli juadah berbuka puasa dengan mengamalkan konsep “Perhati dan Pilih”.
Mesej kempen turut disampaikan secara langsung kepada pengendali makanan melalui pengagihan apron khas sebagai simbol komitmen terhadap penyediaan makanan yang bersih dan selamat.
Sebanyak 50 unit apron diagihkan kepada peniaga, manakala 50 beg tenunan (woven bag) turut diedarkan kepada pengunjung sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut.
Dalam masa sama, pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan turut meninjau tahap pematuhan pengendali makanan terhadap aspek kebersihan sebagaimana digariskan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bagi memastikan standard keselamatan makanan sentiasa dipatuhi.
Program itu turut mengetengahkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2024 (NHMS 2024) yang mendapati pengambilan gula dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada tahap membimbangkan, khususnya melalui minuman manis yang boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes dan penyakit kardiovaskular.
Sehubungan itu, Kempen Kurangkan Gula diperkasa dengan slogan “Gula: Satu Sudu Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik!” bagi menggalakkan orang ramai mengehadkan pengambilan gula dalam minuman harian, khususnya sepanjang Ramadan.
Selain itu, Kempen Nafas Baharu Sempena Ramadan turut diketengahkan sebagai inisiatif menggalakkan perokok menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok. Tempoh berpuasa sekitar 13 jam tanpa rokok dilihat mampu membantu menstabilkan rangsangan nikotin dalam otak.
Walaupun gejala penarikan nikotin seperti pening, batuk, keresahan dan gangguan tidur mungkin berlaku, ia lazimnya berkurangan dalam tempoh tiga hingga 14 hari selepas berhenti sepenuhnya.
Orang ramai turut digalakkan mendapatkan khidmat bantuan berhenti merokok melalui platform JomQuit bagi meningkatkan peluang kejayaan.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dalam memastikan masyarakat bukan sahaja menikmati juadah berbuka puasa yang selamat, malah mengamalkan gaya hidup lebih sihat sepanjang Ramadan dan seterusnya.
Hadir sama Pengerusi dan Penyelaras Bazar Ramadan Uptown Desa Ilmu, Aziman Pon, Pegawai Kesihatan Persekitaran Abdul Mutalib Abdul Rani, Pegawai Pendidikan Kesihatan Christy Alexander, serta Pegawai Teknologi Makanan Nur Zahirah Mohd Shah.- EDISI UKAS