Perkasa Karya Seni Sarawak, Sasar Pasaran Arus Perdana
KUCHING: Usaha memartabatkan industri muzik Sarawak ke pentas nasional terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara syarikat rakaman terkemuka, Luncai Emas Sdn Bhd dan penggiat seni tempatan bagi memastikan karya kreatif negeri ini menembusi pasaran arus perdana negara.
Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd, Datuk Dr M. Nasir berkata, pelancaran karya lagu terbitan komposer tempatan, Abdul Lattif Poli bersama barisan artis Sarawak merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh ekosistem industri muzik di Bumi Kenyalang.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja mengetengahkan bakat baharu tempatan, malah membuka ruang lebih luas kepada karya seni Sarawak untuk dipasarkan secara profesional di peringkat nasional.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Lattif atas komitmen sebagai produser dan pencipta dalam menghasilkan mini album yang menonjolkan potensi artis tempatan.
"Misi kami adalah untuk melindungi harta intelek para pencipta, memastikan hak mereka diurus secara profesional serta membuka peluang agar karya tempatan mampu menembusi pasaran arus perdana khususnya di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Abdul Lattif Poli yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) sempena Majlis Pelancaran Karya Lagu Komposer Abdul Lattif Poli Bersama Artis Tempatan Sarawak yang berlangsung di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Luncai Emas turut berperanan sebagai pengedar digital rasmi bagi semua lagu dalam mini album berkenaan selain bertindak sebagai penerbit muzik yang mentadbir serta mengurus hak cipta karya terbabit.
Pelancaran album tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran penggiat seni mengenai kepentingan perlindungan hak cipta, sekali gus memperkukuh kedudukan penulis lagu Sarawak dalam industri muzik tanah air.
Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada artis Sarawak untuk bersaing secara sihat di peringkat nasional selaras dengan usaha memartabatkan khazanah seni dan budaya tempatan melalui industri muzik moden.
Majlis anjuran Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) itu dihadiri kira-kira 50 peserta.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak; penulis lirik Dahiri Saini serta artis Sarawak, Safar Ghafar.-EDISI UKAS