LCDA Sapphire Run 1.0 Sempena Ulang Tahun Ke-45, Penyertaan Masih Dibuka
KUCHING: LCDA Sapphire Run 1.0 Bersama Komuniti akan diadakan pada 5 April ini bersempena sambutan ulang tahun ke-45 Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan penyertaan masih dibuka kepada orang ramai yang berminat.
Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat LCDA, Saiful Bahari Amra Ramly, berkata program larian komuniti itu terbuka kepada seluruh masyarakat Sarawak dengan dua kategori dipertandingkan iaitu 4.5 kilometer dan 10 kilometer.
Menurutnya, bagi kategori 10 kilometer, acara pelepasan peserta dijadualkan pada jam 6 pagi dan akan disempurnakan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Surveyor Zaidi Mahdi.
Manakala bagi kategori 4.5 kilometer, pelepasan peserta dijangka berlangsung pada jam 6.30 pagi dan akan dilepaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah turut menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan antara agensi dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program tersebut di sini, pada Rabu.
Tambahnya, program itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 kepada para pemenang bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama GRIT Event Management sebagai rakan pengurusan acara.
Orang ramai termasuk komuniti di luar Kuching turut dijemput menyertai dan memeriahkan program tersebut dengan pendaftaran kini dibuka melalui platform rasmi yang disediakan oleh pihak penganjur.
Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Kakitangan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LAKSAMANA), Khairul Hisyam Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif GRIT Event Management, Awang Saifeluddin.-EDISI UKAS