Pembaikan Jambatan & Jalan Sungai Melaban Perlu Dilaksana Segera
LUNDU: Kerja-kerja pembaikan jambatan dan jalan di Sungai Melaban, Jalan Pasir Hilir–Kendaie perlu dilaksanakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, ini bagi mengelakkan kerosakan lebih serius serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya menjelang musim tengkujuh.
Menurutnya, tinjauan mendapati keadaan laluan tersebut memerlukan tindakan awal bagi mengelakkan berlakunya limpahan air yang boleh menjejaskan struktur jambatan serta jalan di kawasan berkenaan.
"Lawatan tapak hari ini bertujuan menilai keadaan semasa infrastruktur tersebut sebelum penyediaan Bill of Quantity (BQ) dilaksanakan bagi tujuan kerja-kerja pembaikan.
“Langkah ini penting supaya laluan berkenaan terus selamat digunakan oleh penduduk setempat serta pengusaha ladang yang bergantung kepada jalan ini sebagai laluan utama mereka,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Lawatan tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail bersama pihak berkaitan bagi meninjau keadaan semasa jambatan serta jalan di Sungai Melaban.
Mengulas lanjut, Billy berkata dokumen BQ yang disediakan kelak akan diserahkan kepada pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat kelapa sawit yang beroperasi di kawasan sekitar bagi tujuan penyelarasan serta pelaksanaan kerja pembaikan.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pihak berkaitan menunggu maklum balas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung penentuan jajaran bagi Projek Jalan Biawak–Kendaie yang dirancang pada masa hadapan.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan pembinaan jambatan sementara serta lencongan jalan yang dicadangkan tidak bertindih atau menjejaskan pelaksanaan projek jalan utama itu kelak.-EDISI UKAS